"Kematian Salima seolah-olah menguburkan sama hidupku. Tak kusangka, ajalnya juga melahirkan cinta teragungku pada tinggalannya. Namun semuanya berakhir dalam bauran ironi..sayu dan gembira." ~ Sa'adah

TUNJANG SA'ADAH's Fan Box

Sunday, November 14, 2010

skrip asal 14 Oktober 2005

TUNJANG SA’ADAH

oleh:

Ajami Hashim



FADE IN:

INT. RUMAH TAJUDIN/BILIK TIDUR BAWAH - DAY

SUPERIMPOSE: JULAI 2008

Fokus ke sebuah gambar besar di dinding, sepasang pengantin dan seorang budak lelaki duduk di tepi katil di bilik pengantin. Pakaian pengantin songket tradisional.

Fokus beralih ke sebuah lagi gambar yang lebih kecil di atas meja solek, juga sepasang pengantin sahaja dimana pengantin lelaki yang sama tetapi pengantin perempuan yang berbeza. Pakaian pengantin ala Inggeris moden dimana pengantin perempuan memakai gaun warna putih susu.

Kelihatan TAJUDIN (35), seorang mualaf terbaring kaku di atas katil. Sesekali matanya berkedip memandang sayu ke syiling.

Di sisi Tajudin nampak sebuah peralatan sokongan pernafasan bersambung ke mulutnya dan bekalan perubatan yang berselirat di tangannya. Tajudin ialah pengantin lelaki dalam kedua-dua gambar tadi.

Fokus beralih ke pintu bilik yang terkuak sedikit. Dari luar kedengaran suara beberapa orang yang kedengaran samar-samar sedang bertengkar.

Tiba-tiba tangan seseorang yang tidak pasti siapa bergegas membuka pintu dari luar.

TAJUDIN’s P.O.V -- Seseorang dengan pantas menekup mukanya dengan sesuatu berwarna kebiruan. Pandangannya beransur kelam dan akhirnya gelap.

FADE TO BLACK.


FADE IN:

EXT. KAWASAN PERUMAHAN TERES - NIGHT

SUPERIMPOSE: DISEMBER 2007

Fokus ke sebuah rumah teres lot hujung, rumah Tajudin dalam suasana majlis tahlil.

Papantanda hiasan di peti surat pagar terukir nama VILLA TAJUDIN & SALIMA.

Kelihatan banyak kereta diletakkan di luar dan dalam halaman rumah.

Kedengaran sayup-sayup suara orang ramai dari dalam rumah membaca surah Yassin.

SA’ADAH (V.O.)

Kematiannya seolah-olah menguburkan sama hidupku.

Tak kusangka, ajalnya juga melahirkan

cinta teragungku pada tinggalannya.

Namun semuanya tamat

dalam bauran ironi, sedih dan gembira.

DISSOLVE TO:

INT. RUMAH TAJUDIN/RUANG TAMU - NIGHT

Kelihatan jelas di dinding utama ruang tamu, dua buah gambar bersaiz besar tergantung bersebelahan. Sebuah gambar perkahwinan sepasang pengantin dan sebuah lagi gambar tiga beranak di hadapan sebuah restoren makanan segera HOTDOG 1901. Tajudin ada di dalam kedua-dua gambar.

Kelihatan LELAKI-LELAKI DEWASA berpakaian seperti ke surau sedang membaca ayat terakhir surah Yassin.

Di satu sudut, Tajudin tersedu-sedan menghabiskan bacaannya sambil sesekali mengesat airmata. Anak lelakinya, ALIF (4) tidur berbantalkan peha kanannya.

DISSOLVE TO:

INT. RUMAH TAJUDIN/DAPUR - NIGHT

Kelihatan beberapa orang WANITA-WANITA DEWASA sedang sebok menyiapkan hidangan.

MAK BADAR (60), ibu Tajudin iaitu seorang wanita tua mualaf duduk bersandar memerhatikan dengan wajah sayu dan keletihan.

SA’ADAH (33), orang gaji Tajudin seakan ketua mengarahkan itu dan ini pada wanita-wanita itu.

MAK BADAR

Sa’adah, cuba kira berapa orang?

Sa’adah menjenguk ke ruang tamu mencongak.

SA’ADAH

Rasanya dalam 20 lebih. Cukup lauk ni.

MAK BADAR

Kain-kain batik arwah ada kau bungkus-bungkuskan?

SA’ADAH

Emm, adalah sehelai. Abang Din suruh simpan je.

Sa’adah mengambil sebungkus plastik besar dari dalam kabinet dapur bahagian bawah.

SA’ADAH

Ni ha, Abang Din beli yang baru 50 helai,

suruh sedekahkan semua.

MAK BADAR

Tajudin! Tajudin!

(mengeluh dan sebak)

SA’ADAH

Salima makcik, arwah yang tak

berapa suka pakai kain batik.

MAK BADAR

Sekarang, Tajudin yang beriya tak nak bagi sesiapa.

(pada diri sendiri)

Sa’adah mengangkat periuk nasi elektrik yang bersaiz besar dari atas meja kabinet lalu meletakkan di atas lantai.

Kemudian dia mengacau-ngacau seperiuk besar gulai ikan masin yang sedang menggelegak di atas dapur gas. Sesekali

Sa’adah mengelap peluh di dahi dengan lengan baju kurungnya.

Mak Badar memerhatikan perlakuan Sa’adah sambil mengetap bibir menahan sebak.

MAK BADAR

Nasib baiklah kau ada Sa’adah.

Huey Yen takkan datang majlis agama macam ni.

SA’ADAH

Tak apalah makcik, dah kerja saya.

Lagipun malam ni Kak Yen kan ada

makan malam Hari Krismas

dengan keluarga Abang Andrew?

KAK ZITA (40), seorang jiran wanita muncul di pintu dapur.

KAK ZITA

Assalamu’alaikum.

SEMUA WANITA

Wa’alaikumsalam.

Sa’adah menghampiri Kak Zita dan menariknya ke luar dapur.

CUT TO:

EXT. RUMAH TAJUDIN/LUAR DAPUR - NIGHT

SA’ADAH

Kak Zita, bila balik?

KAK ZITA

Kelmarin Tajudin ada sms akak masa kat Manchester,

dia kata barah payudara Salima tu makin teruk.

Akak telefon balik, dapat cakap sendiri

dengan Salima! Akak terus ambik flight

balik cepat-cepat! Tak, tak sangka pulak--

Kak Zita mula teresak-esak tidak dapat meneruskan kata-kata.

SA’ADAH

--Kak Zita!

KAK ZITA

Akak terkilan sangat tak ...

tak dapat tengok ... nak jumpa ...

(kelu lidah)

Sa’adah segera memeluk Kak Zita yang meraung.

SA’ADAH

Sabar kak, sabar! Mengucap banyak-banyak.

Sa’adah mengusap tangan Kak Zita yang semakin tenang.

SA’ADAH

Macamana restoren baru kat sana?

KAK ZITA

Tunggu kelulusan lesen. Abang Musa uruskan semuanya.

Resepi kau tu mat salih memang suka masa food test.

(mengesat airmata dan cuba tersenyum)

AMIN (25), seorang lelaki penjual ikan datang terhendap-hendap mendekati pintu pagar dapur sambil memegang sebungkusan ulam.

AMIN

Pst! Pst! Sa’adah!

KAK ZITA

Mmm, anak ikan--eh! abang ikan kau dah datang.

Sa’adah tersipu-sipu malu. Kak Zita beredar masuk ke dalam dapur.

SA’ADAH

Amin! Kenapa ikut belakang?

Lelaki baca Yassin kat depan!

AMIN

Ish! Malulah. Baju, baju bau ikan.

Ni, ulam raja, ulam ratu, ulam puteri macam, macam awak!

Semua ada! Cukup? Cukup tak?

Amin menyerahkan bungkusan ulam.

SA’ADAH

Lebih dari cukup. Esok saya bayar--

AMIN

--Eh! Tak! Tak payah! Saya, saya sedekah!

Awak, awak kan pelanggan tetap saya!

Mak Badar muncul di pintu dapur.

MAK BADAR

Sa’adah, nak hidang dah. Amin, masuklah makan dulu.

AMIN

Err, tak apalah makcik.

Err, err, saya, saya tak baca Yassin tadi.

Tak penting, saya tak penting.

Saya nak pegi pasar borong dah ni.

Nak, nak beli ikan jualan esok.

Balik dulu ya makcik! Sa’adah!

Amin bergegas keluar sambil tersengih-sengih. Mak Badar berkerut dahi.

Sa’adah tersenyum simpul.

DISSOLVE TO:

INT. RUMAH TAJUDIN/RUANG TAMU - NIGHT

Sa’adah menutup dan mengunci pintu utama selepas tetamu terakhir balik.

Kemudian dia selimutkan Alif yang nyenyak tidur di atas sofa. Sa’adah mengusap rambut dan mencium dahinya.

Sa’adah termenung sejenak menatap gambar di dinding sambil mengeluh panjang. Cepat-cepat dia menyapu airmata yang mula berlinang.

Sa’adah menaiki tangga ke tingkat atas.

CUT TO:

INT. RUMAH TAJUDIN/RUANG REHAT TINGKAT ATAS - NIGHT

Sa’adah berjalan menuju ke biliknya. Kelihatan samar-samar dari cahaya lampu tangga, sebuah binaan rumah Lego, sebiji bola dan dua buah walkie-talkie mainan kepunyaan Alif berselerakan di atas lantai.

SA’ADAH’s P.O.V -- Kelihatan pintu bilik tidur Tajudin renggang dan kedengaran samar-samar suara Tajudin dan Mak Badar sedang berbual di dalamnya.

INTERCUT TO:

INT. RUMAH TAJUDIN/BILIK TIDUR - NIGHT

Tajudin memicit -micit kepala Mak Badar yang berbaring di atas katil. Di kiri-kanan dahi Mak Badar bertampal koyok putih.

MAK BADAR

Din, kau jangan sampai lupa diri.

Walaupun dulu, kau yang beriya-iya bantah

masa mama dan arwah papa masuk Islam.

Akhirnya kau ikut juga

tapi kerana nak nikah dengan Salima.

Sekarang bila Salima dah tak ada ...

(tersekat manahan sedih)

TAJUDIN

--Sabarlah ma. Saya tahulah macamana nak buat.

MAK BADAR

Hmm, sepatutnya mama yang sabarkan kau.

Cuma, mama kenangkan Alif.

Mama kat rumah orang tua, kau sebok.

Kak Yen kau memang tak boleh jaga Alif

walaupun dia beriya nak jadikan anak angkat.

Agama dia lain Din.

TAJUDIN

--Tak apa. Taman asuhan ada merata-rata

kat taman perumahan ni. Tadika pun ada.

MAK BADAR

Habis, Sa’adah?

TAJUDIN

Macamana lagi? Balik kampunglah.

INTERCUT TO:

INT. RUMAH TAJUDIN/RUANG REHAT TINGKAT ATAS - NIGHT

PRAPP! Sa’adah tersepak bola lalu memecahkan binaan rumah Lego mainan Alif.

Tajudin bergegas keluar dari bilik tidur.

SA’ADAH

Abang Din! Alif ... Alif tidur kat ...

kat bilik saya malam ni ya!

(terkejut dan panik)

TAJUDIN

Bukan dia kat sofa bawah?

SA’ADAH

Yalah! Yalah! Saya ... saya nak ambik bola,

err, bantal! selimut! ...

bantal dan selimut kat bilik. Nak tidur bawah lah!

TAJUDIN

Awak dengar?

(serba-salah)

Sa’adah mengangguk. Tajudin menggaru-garu kepala.

TAJUDIN

Awak tahu kan?

SA’ADAH

--Sebab kita ... err ... saya,

sebab saya orang Melayu ... dan kita, kita ...

TAJUDIN

--Kita bukan muhrim. Sebenarnya saya,

err ... Alif, Alif ...

SA’ADAH

--Ya, saya temankan Alif tidur malam ni.

Tajudin bertentang mata dengan Sa’adah.

CUT TO:

INT. RUMAH TAJUDIN/DAPUR - DAY

KETAPP! Sa’adah menekan butang pembakar roti yang berdekatan dengan sebuah walkie-talkie mainan.

Tajudin tercegat di sisi Sa’adah seakan mendengar taklimat tetapi riak wajahnya kelihatan tidak serius.

SA’ADAH

Nak bancuh air ... kabinet ni.

Sa’adah membuka kabinet atas kanan yang dipenuhi Milo, Nescafe, teh uncang dan jus kordial.

SA’ADAH

Makanan segera ... yang ini.

Sa’adah membuka pula kabinet sebelah kiri yang sarat dengan mee segera, makanan dalam kotak dan tin-tin sardin.

Tajudin mengambil satu tin sardin saiz kecil dan meneliti jenamanya.

Sa’adah mendekati dan membuka peti ais.

SA’ADAH

Dalam peti ais ni ada ayam, ikan,

biasanya tahan dua-tiga hari. Kalau nak yang fresh--

Tiba-tiba kedengaran suara Alif dari walkie-talkie mainan.

ALIF (O.S. ON WALKIE-TALKIE)

Aunty! Alif yak! Over!

Sa’adah segera mencapai walkie-talkie.

SA’ADAH

Kejap! Tunggu kat toilet atas! Over ... and out!

Tajudin kebingungan memandang Sa’adah.

SA’ADAH

Jom! Sana!

Sa’adah menuding jari ke bilik tidur bawah.

CUT TO:

INT. RUMAH TAJUDIN/BILIK TIDUR BAWAH - DAY

Tajudin mengekori Sa’adah. Sa’adah membuka laci almari yang dipenuhi lampin jenama Drypers.

SA’ADAH

Drypers ... laci ni. Saiz XL.

Sa’adah memberikan sehelai lampin kepada Tajudin yang terpinga-pinga.

TAJUDIN

Saya?

SA’ADAH

Kena cepat tukar bang! Nanti naik ruam.

Kulit dia sensitif!

ALIF (O.S. ON WALKIE-TALKIE)

Aunty!

TAJUDIN

Papa datang ni!

Alif muncul di pintu bilik terkengkang-kengkang kehairanan.

ALIF

Papa?

CUT TO:

INT. RUMAH TAJUDIN/DAPUR - DAY

Sa’adah masuk semula ke dapur. Kedengaran suara Tajudin dan Alif kelam-kabut di dalam tandas. Mak Badar masuk ke dapur.

MAK BADAR

Oi! macam orang karam lah!

Mak Badar duduk di kerusi berhadapan meja makan. Sa’adah menuangkan kopi untuk Mak Badar.

MAK BADAR

Kopi kamu yang terakhir?

(mengeluh)

SA’ADAH

Alah! Makcik ni.

Sa’dah duduk di sisi Mak Badar.

MAK BADAR

Bila kamu balik kampung?

SA’ADAH

Esok pagi.

MAK BADAR

Kirim salam makcik pada Haidir dengan

kakak ipar kamu, siapa ke namanya ...

SA’ADAH

--Kak Maria.

(gelisah)

Mak Badar menggenggam tangan Sa’adah.

MAK BADAR

Kau tau kan? Makcik sebenarnya tak sampai hati ...

(sebak)

TUPP! Pembakar roti melantunkan dua keping roti bakar yang kelihatan agak hangit kehitaman.

SA’ADAH

Alahai! Hangit pulak!

Keduanya ketawa.

DISSOLVE TO:

INT. RUMAH KAMPUNG/RUANG TAMU - DAY

HAIDIR (35), abang Sa’adah berdiri memegang telefon bimbit di telinga sambil menghisap rokok berdekatan tingkap.

MARIA (28), isteri Haidir yang mengandung 2 bulan duduk di sofa yang agak mahal untuk rumah kampung sedang mengait sarung bantal bayi berwarna biru. Rantai dan gelang emas memenuhi leher dan tangannya. Sesekali Maria menjeling pada Haidir dengan muka masam.

FAUZIAH (1), anak ketiga mereka tidur dalam buaian elektrik di satu sudut.

HAIDIR

Yalah! Yalah! Esok Along tunggulah.

Bilik kau tu Siti yang guna,

nanti Kak Maria kau kemaskan.

(on the phone)

MARIA

--Hoi! Saya pulak!

Jeritan Maria menyinga pada Haidir yang cepat-cepat menjauhkan diri ke muka pintu dan terus duduk mengepit telefon di bahu dan telinganya sambil menyarung stokin.

HAIDIR

Err, Kirim salam dengan Tajudin,

cakap Along mintak maaf tak dapat datang

hari kebumi isterinya hari tu.

Ni, Along nak pergi buka kedai dah ni ...

Wa’alaikumsalam.

(on the phone)

Haidir menekan butang END telefonnya. Maria mencampak geram sarung bantal ke atas meja kopi.

MARIA

Kat KL tu dah tak ada kerja lain ke bang?

HAIDIR

Entahlah.

MARIA

Menyusahkan betul! Kat sana tu

bilik sewa pun berlambak-lambak!

HAIDIR

Err, balik sementara je tu kot.

MARIA

Ha-ah yalah tu! Awak dah lupa ke pasal rumah ni?

Kalau dia nak ambil balik? Dia nak jual?

Tu belum kalau dia kawin! Abang nak pindah?

Saya tak nak!

Maria mengambil sepucuk surat bercop sebuah bank dari bawah meja kopi.

MARIA

Ni, bank tawarkan untuk dipajak, bila-bila pun boleh.

Haidir membisu dan mengeluh panjang.

MARIA

Tu! bilik tu saya nak buat bilik budak

masa pantang nanti! Kemaskan untuk dia apa kejadahnya!

HAIDIR

Bilik tu dulu, bilik Sa’adah kan?

SITI (10) dan HAJAR (8) keluar dari bilik berpakaian baju sekolah menuju ke muka pintu.

HAIDIR

Ha! Siti, balik sekolah nanti,

pindah barang-barang kamu ke bilik Hajar.

Mak Su balik esok.

HAJAR

Alah! Kakak tidur berdengkur lah bah!

SITI

Woi! Aku pun tak nak tidur

dengan engkau lah! Sofa tu ada!

MARIA

Dah! Dah! Tu tengok tu!

Maria menuding jam dinding yang menunjukkan pukul 7:15.

Siti dan Hajar segera memakai stokin dan kasut sekolah lalu bergegas keluar.

MARIA

Kali ni saya ada darah tinggi bang!

Kena berehat betul bila balik bersalin

kat hospital swasta nanti!

HAIDIR

Swasta?

MARIA

Yalah! Saya nak yang bagus! Yang selesa!

HAIDIR

Mahal tu kan? Sofa awak duduk tu

pun kita tak habis ansuran lagi.

MARIA

Amboi!

HAIDIR

Ni sebab scan semalam lah ni.

(berbisik sendiri)

MARIA

--Ya! Sebab dalam perut saya ni anak lelaki!

Habis kenapa?

(nyaring)

Fauziah terkejut dan menangis. Haidir cepat-cepat mengangkatnya. Maria hanya memerhati dengan muka selamba.

DISSOLVE TO:

INT. RUMAH TAJUDIN/BILIK TIDUR ALIF - NIGHT

Bilik separa gelap, cahaya cuma dari lampu tidur berbentuk bintang.

Kelihatan Alif berbaring di atas katil sedang memegang walkie-talkie mainan, menekan butangnya berulang-ulang ON-hijau dan OFF-merah. Alif sedang kusyuk mendengar Sa’adah membaca buku cerita.

Sa’adah duduk di sisi Alif membaca ayat terakhir buku cerita Cinderella.

SA’ADAH

Akhirnya mereka hidup bahagia

sampai ke akhir hayat. Tamat.

ALIF

Aunty, ada sambung lagi?

SA’ADAH

Tak. Dah habis.

ALIF

Esok, aunty baca Aladdin pulak?

SA’ADAH

Ok, tapi papa Alif bacakan.

ALIF

Aunty pergi mana?

SA’ADAH

Alif ingat tak kampung aunty?

ALIF

Yang ada banyak daun tu?

SA’ADAH

Sawah padi.

ALIF

Yeah! Alif nak ikut! nak ikut!

Alif melompat-lompat di atas katil kegirangan. Sa’adah memeluk Alif menenangkan. Mata Sa’adah mula bergenang.

SA’ADAH

Shyyy! Ok! Ok! Sekarang tidur dulu ya.

Alif berbaring semula. Sa’adah menyelimutkan Alif dan mencium dahinya. Sa’adah menutup lampu dan berjalan menuju ke pintu.

INTERCUT TO:

INT. RUMAH TAJUDIN/RUANG TAMU - NIGHT

Kelihatan Tajudin sedang meneliti borang-borang SALES & PURCHASES syarikatnya di meja tulis berhadapan gambar besar perkahwinannya.

Berdekatan Tajudin, sebuah lagi walkie-talkie mainan menyala butang ON-hijau di antara timbunan mainan Lego di atas lantai.

INTERCUT TO:

INT. RUMAH TAJUDIN/BILIK TIDUR ALIF - NIGHT

Dalam gelap Alif bersuara.

ALIF

Aunty sayang Alif macam mama?

Sa’adah berhenti di muka pintu dan berpaling ke arah Alif.

SA’ADAH

Ya ... sayang.

INTERCUT TO:

INT. RUMAH TAJUDIN/RUANG TAMU - NIGHT

Tajudin berhenti membaca dan memandang ke arah walkie-talkie yang kedengaran jelas perbualan Alif dan Sa’adah.

ALIF (O.S. ON WALKIE-TALKIE)

Aunty tak tinggalkan Alif macam mama kan?

TAJUDIN’s P.O.V. -- Merenung jelas pada walkie-talkie.

SA’ADAH (O.S. ON WALKIE-TALKIE)

Tak sayang ... tak. Aunty tak akan ...

(teresak-esak)

TUP! kedengaran bunyi pintu ditutup. Suasana sangat sunyi.

Tajudin merenung borang yang tertera nama SALIMA BINTI HASHIM di ruangan ASSISTANT MANAGER. Kemudian dia menatap gambar perkahwinan di dinding berhadapannya.

TAJUDIN

Kenapa Salima? Kenapa?

(bercakap pada gambar)

DISSOLVE TO:

EXT. RUMAH TAJUDIN/HALAMAN RUMAH - DAY

Kelihatan sebuah teksi di luar pagar dimana Sa’adah di tempat duduk belakang, tingkap terbuka. Sa’adah menangis sambil melambai tangan.

Mak Badar teresak-esak berdiri, berpaut di pintu pagar. Tajudin sugul mendukung dan menenangkan Alif yang meraung hendak mengikut Sa’adah.

Teksi membelok keluar dari taman perumahan ke jalan utama dan hilang dari pandangan.

DISSOLVE TO:

EXT. RUMAH KAMPUNG/HALAMAN RUMAH - DAY

Sebuah kereta sewa buruk yang membawa Sa’adah memasuki dan berhenti di halaman rumah.

Maria duduk memakan buah kedondong di beranda rumah memerhatikan kereta itu dengan muka masam. Kemudian Maria meludah ke luar dan mencampakkan kedondong yang separuh habis dimakannya ke arah sebuah van buruk berdekatan Haidir.

Haidir sedang mengeluarkan sebuah kotak yang berisi seplastik gula dan seplastik cili boh dari dalam boot van sambil memandang kereta sewa itu dengan senyuman.

Haidir tidak sengaja terpijak sisa kedondong tadi. Dia tergelincir dan tertumpahkan isi kotak itu ke tanah. Gula dan cili boh tertabur berserakan bercampur-aduk di atas tanah.

Sa’adah keluar dari kereta sewa dan membayar tambang kepada pemandu yang sedang mengeluarkan dua buah beg besar dari dalam boot. Kemudian kereta sewa meninggalkan halaman.

SA’ADAH

Assalamu’alaikum Long!

HAIDIR

Wa’alaikumsalam.

Maria memekik dari atas beranda menunjuk ke arah tumpahan gula dan cili boh.

MARIA

Bang! Awak dah buang tebiat ke?

HAIDIR

Alah! Nanti abang beli yang lain!

Haidir bertenggung mengutip sisa-sisa tumpahan.

Sa’adah merenung tajam pada Maria yang lekas berpaling ke arah lain.

SA’ADAH

Kak! Apa khabar?

(sinis)

MARIA

Baik.

(endah tak endah)

Sa’adah ikut bertenggung mendekati Haidir dengan senyuman.

SA’ADAH

Pembawak budak? Tiga yang lepas tak teruk cam gini.

(berbisik)

HAIDIR

Huh! Dulu masa kau tak ada.

Sa’adah mencapai tangan Haidir yang berlumuran gula dan cili boh lalu menciumnya. Hidung Sa’adah terpalit sedikit cili boh yang bergula.

Kedua mereka ketawa.

Maria geram memerhatikan lalu merengus dan bingkas masuk ke dalam rumah.

DISSOLVE TO:

INT. RUMAH TAJUDIN/RUANG TAMU - NIGHT

Tajudin duduk di atas sofa memegang walkie-talkie mainan. Alif berbaring tidur di peha kanannya.

Tajudin menekan butang ON-hijau dan OFF-merah berulang-kali. Dia sugul memandang televisyen yang sedang menayang rakaman video suasana kemesraan perkahwinannya dengan Salima.

Kelihatan Sa’adah sebagai pengapit Salima yang memandang tepat pada kamera seolah-olah tersenyum pada Tajudin.

INTERCUT TO:

INT. RUMAH KAMPUNG/BILIK SA’ADAH - NIGHT

Sa’adah mengeluarkan sekeping gambar berbingkai dari dalam beg - gambar Sa’adah, Salima dan Alif di taman permainan. Dia merenung sayu gambar itu lama-lama.

Kemudian Sa’adah mengeluarkan satu-persatu bajunya dari dalam beg dan kelihatan walkie-talkie mainan di bahagian bawah sekali, lalu Sa’adah mengambilnya.

INTERCUT TO:

INT. RUMAH TAJUDIN/RUANG TAMU - NIGHT

Tajudin menekan butang walkie-talkie mainan ON-hijau dan merapatkan pada mulutnya.

TAJUDIN

Over ...

INTERCUT TO:

INT. RUMAH KAMPUNG/BILIK SA’ADAH - NIGHT

SA’ADAH

... and out.

TUP! Sa’adah memadamkan lampu bilik. Gelap.

FADE TO BLACK.

FADE IN:

INT. RUMAH TAJUDIN/DAPUR - DAY

Di atas meja makan kelihatan sepinggan roti bakar yang hampir hangus, semangkuk scramble-egg yang tidak sempurna, segelas dan sekotak susu segar. Kelihatan juga sisa tumpahan susu tepung, sekotak sisa ayam KFC dan dua tin Coke kosong.

Alif duduk di kerusi memegang walkie-talkie mainan dengan muka merajuk memerhatikan Tajudin yang sedang memasukkan timbunan kain dari dalam bakul plastik ke dalam mesin basuh.

Tajudin berpakaian ke pejabat dengan tali leher yang senget dan baju yang berkedut. Alif pula memakai baju seragam tadika.

TAJUDIN

Tadika tu kan ramai kawan?

Petang nanti Papa ambil.

Alif membisu.

Tajudin menekan-nekan butang ON-OFF mesin basuh kekeliruan.

TAJUDIN

Auto wash? Which combination?

Yang mana satu? Yang mana?

(marah diri sendiri)

Alif mencampakkan geram walkie-talkie mainan ke atas lantai. Tajudin mengambilnya dan mendekati Alif dengan muka marah.

TAJUDIN

Papa tak tahu kat mana yang lagi satu, ok!

(hampir menjerit)

Alif mula menangis dan lari ke ruang tamu.

ALIF (O.S.)

Mama! Mama!

(meraung dan menangis)

Tajudin tidak mengendahkan tangisan Alif. Dia menarik nafas panjang dan meneliti semula butang ON-Auto Wash mesin basuh yang betul.

ALIF (O.S.)

Alif nak aunty! aunty!

Tajudin mengambil botol cecair sabun di tepi mesin basuh dan menuangkan ke dalamnya.

Kemudian, dia duduk perlahan-lahan dan bersandar di mesin basuh sambil memegang botol itu.

Tajudin membaca jenama FLORAL yang tertampal di botol lalu menghidu muncungnya lalu memejamkan mata.

TAJUDIN

Kegemaranmu ... Juga bau kesukaanku.

Salima ... abang tak boleh buat semua ni sendiri.

(pada diri sendiri)

DISSOLVE TO:

INT. RUMAH TAJUDIN/BILIK TIDUR - DAY

Tajudin mengeluarkan sebuah kotak antik dari bawah katil.

TAJUDIN’s P.O.V. -- Dalam kotak itu terbungkus sehelai kain batik dan sepasang gaun pengantin berwarna putih susu.

Tajudin mengeluarkan gaun itu lalu mendakapnya erat-erat lalu menyandar ke sisi katil. Tajudin mula menangis teresak-esak perlahan.

Alif muncul di pintu bilik mendekati Tajudin lalu memeluknya.

ALIF

Papa, maafkan Alif.

Tajudin menganggukkan kepala lalu terus meraung sekuatnya dalam dakapan Alif yang menepuk-nepuk belakangnya.

DISSOLVE TO:

INT. RUMAH KAMPUNG/DAPUR - DAY

Kelihatan Sa’adah, Siti dan Hajar sedang duduk bersarapan.

Di atas meja terhidang semangkuk scramble-egg, sepinggan roti bakar, sebotol jem strawberi dan sedulang teko dan cawan.

Haidir duduk bersila di atas lantai meriba Fauziah yang minum susu botol. Haidir membaca surat khabar ruangan sukan yang terbentang.

Siti membaca majalah URTV sambil tersenyum-senyum seorang diri. Hajar serius menulis sesuatu di buku latihan Matematik sekolahnya.

Sa’adah meneliti surat khabar di ruangan MENCARI PEKERJAAN sambil mengunyah roti bakar. Kemudian dia mengambil sebatang pen dari kotak pensil Hajar dan membulatkan beberapa pekerjaan yang sesuai.

Maria yang kelihatan baru bangun tidur muncul di muka pintu dari ruang tamu. Mukanya dipenuhi bedak sejuk dan rambut yang penuh dengan penggulung rambut. Maria memerhatikan semua orang yang seakan tidak mengendahkan kehadirannya.

MARIA

Ahem! Ahem! ... Oh! keluarga bahagiaku!

(menyindir)

Sa’adah cepat-cepat menuangkan teh susu ke dalam cawan. Maria duduk di kerusi di sebelah Sa’adah.

SA’ADAH

Pagi ni, sarapan western kak.

Sa’adah menghulur pinggan berisi roti bakar kepada Maria.

MARIA

Aku ni orang kampung, Western apanya?

Maria mengisi pinggannya dengan empat keping roti bakar dan mengaut banyak-banyak scramble-egg ke pinggannya.

HAJAR

Susahnya!

Hajar mencampakkan pen ke atas buku latihannya.

SITI

Kau tu yang bengap!

HAJAR

Macamlah kau terer Math!

MARIA

Oi! Oi! Belajar betul-betul!

Jangan dah besar kerja tak tentu hala!

Menyusahkan mak-bapak!

Maria merampas majalah URTV dari Siti.

MARIA

Kau tu Siti, rumah ni bukannya hotel ya!

SITI

Mak!

MARIA

Tu! Kain baju sekolah bila nak basuh?

Tau baca benda tak berfaedah ni je! Dua-dua!

Maria menuding jari ke arah Siti dan Hajar.

Sa’adah lekas-lekas bangun membawa pinggan dan cawannya ke sinki. Siti dan Hajar beredar keluar. Haidir berdiri mendukung Fauziah hendak menyerahkannya pada Maria.

MARIA

Ai! Saya baru nak duduk!

HAIDIR

--dan baru bangun. Saya nak ke kedai dah ni.

MARIA

Kejaplah! Awakkan suka layan bebudak.

Turun-temurun. Semulajadi.

Haidir terus meriba Fauziah sambil menyusukannya. Sa’adah membasuh pinggan dan cawan di sinki dengan muka meradang.

Maria menyelak majalah URTV satu-persatu sambil mengunyah roti bakar dengan lahapnya. Maria membaca ruangan tentang seorang artis wanita.

MARIA

Kalau cantik macam dia ni, senang.

Pikat datuk, kerabat, lepas tu kawin.

Tak payah nak kerja. Tak bergantung keluarga,

adik-beradik dia.

HAIDIR

Usu, kejap lagi nak ikut Along

beli barang kat pekan?

Supermarket tu ada tampal iklan jurujual.

SA’ADAH

Boleh jugak.

Sa’adah menghampiri Haidir dan mendukung Fauziah lalu mengagahnya.

SA’ADAH

Fauziah yang comel!

Nanti dah besar nak jadi artis fofular ke?

Kawin YB, anak raja! doktor! loyer!

tak macam Mak Usu ni ...

Apa? Orang gaji? Jurujual? Ahli mujik?

(meniru gaya Mak Dara filem Ibu Mertuaku)

Maria menjeling tajam pada Sa’adah yang ketawa berjalan keluar mendukung Fauziah.

MARIA

Bang, dah tanya pasal tukar nama tanah rumah ni?

(berbisik)

HAIDIR

Nanti nantilah.

Haidir bangun menghampiri cermin buruk di dinding. Dia mencolek minyak rambut Code 10, menyikat rambut dan membetulkan butang bajunya tanpa menghiraukan leteran Maria.

MARIA

Dahtu! Sampai bila pun tak boleh nak pajakkan!

Banyak benda nak beli bang. Hutang gelang,

duit kutu, belanja sekolah, modal kedai.

Nanti, duit bersalin macamana?

Van tu, dah buruk sangat bang!

Bau ikan kering! Malu saya!

Haidir mengambil kunci van yang tersangkut di dinding.

HAIDIR

Hah? Awak nak bersalin dalam van?

(buat-buat keliru)

MARIA

Eeeeeee!

Maria mencampakkan majalah URTV ke meja.

Tanpa Haidir dan Maria sedari, Sa’adah tercegat di pintu dapur mendukung Fauziah yang lena tidur. Sa’adah merenung tajam pada keduanya yang serba-salah.

SA’ADAH

Nak masukkan dalam buai atau atas katil?

Haidir segera mengambil dan memasukkan Fauziah ke dalam buaian elektrik.

Maria membawa pinggannya ke sinki tersipu-sipu.

HAIDIR

Usu, jomlah siap.

Sa’adah membisu masam menaiki tangga ke atas.

MARIA

Bang! Jangan lupa belikan saya--

Haidir segera menghampiri Maria dan menyegilkan mata.

HAIDIR

--cili api? cili giling?

CUT TO:

EXT. RUMAH TAJUDIN/HALAMAN RUMAH - DAY

Mak Badar duduk minum petang di meja rehat berpayung. Di atas meja terhidang sepinggan pisang goreng, sebuah teko, sebiji cawan berisi dan sebuah cawan terlangkup kosong.

Tajudin sedang membelikan Alif sebatang aiskrim dari PENJUAL AISKRIM bermotorsikal. Kemudian Alif yang berpakaian tadika duduk di sisi Mak Badar.

TIN! TIN! Sebuah kereta Proton Waja membunyikan hon dan berhenti di depan Tajudin. AZLINA (28), seorang wanita berpakaian moden keluar ceria dari kereta memegang sebuah fail jenama SYARIKAT INSURAN.

AZLINA

Hello!

Tajudin segera menjabat tangan Azlina. Mak Badar berubah muka.

TAJUDIN

Hi! Miss Azlina! banyak borang I nak sain?

AZLINA

Macam-macam borang.

Tajudin dan Azlina duduk bersama Mak Badar.

AZLINA

Makcik apa khabar? Alif Ok?

MAK BADAR

Macam ginilah.

Mak Badar menuangkan air Nescafe ke dalam cawan.

AZLINA

Eh! Tak apalah makcik.

MAK BADAR

Oh! Yang ni Tajudin punya.

Azlina tersipu malu.

TAJUDIN

Betul you tak nak minum?

AZLINA

Pisang goreng tu I nak sangat.

So, kalau dah makan, kena minum kan?

TAJUDIN

Minum I punya.

Keduanya ketawa sementara Mak Badar tersenyum kelat.

Aiskrim Alif meleleh-leleh ke bajunya.

TAJUDIN

Alif! Papa dah kata tukar baju tadika dulu kan?

MAK BADAR

Jom cu. Alif mandi dan tukar baju lain, YANG SESUAI!

(menyindir)

Mak Badar memimpin tangan Alif.

MAK BADAR

Makcik masuk dululah. Kalau tak cukup air,

pisang, makcik kat dapur ye!

Mak Badar dan Alif masuk ke dalam rumah.

TAJUDIN

Cerita apa tu?

AZLINA

Oh! Cerita Ibu Mertuaku kot!

Anyway, pisang mama you goreng ni, memang sedap!

TAJUDIN

Whatever lah! Tuntutan insuran I ni pulak, apa cerita?

AZLINA

You isi borang-borang ni and pass it back to me A.S.A.P.

TAJUDIN

Thanks to you, my lovely agent!

AZLINA

Lovely aje? Bukan my loving agent?

Keduanya ketawa lagi.

INTERCUT TO:

INT. RUMAH TAJUDIN/BILIK TIDUR - DAY

Mak Badar mengintai dari langsir tingkap sambil mengeluh.

CUT TO:

INT. VAN HAIDIR - DAY

Sa’adah duduk sugul memandang keluar tingkap di sebelah Haidir yang terkedip-kedip mengantuk memandu van dengan dahi berkerut-kerut.

HAIDIR

Along tak paksa kalau Usu tak nak sain.

Semua tu hak Usu.

Sa’adah masih membatu. Haidir memberhentikan van di belakang sebuah kereta PERODUA KANCIL di lampu isyarat merah.

Seorang BUDAK LELAKI sebaya Alif yang duduk di belakang kereta itu tersenyum melambai Sa’adah.

Sa’adah membalas senyuman dengan genangan airmata.

Cepat-cepat Sa’adah alihkan pandangan ke kiri dimana sebuah banner iklan TEMUDUGA TERBUKA OPERATOR PENGELUARAN (PULAU PINANG) terpampang besar di sisi jalan.

SA’ADAH

Pulau Pinang!

HAIDIR

Hah? Along cakap pasal tapak rumah sinilah.

Tanah kat Pulau Pinang arwah abah

dah jual masa nak pegi haji dulu kan?

SA’ADAH

Ya! ... Tak!

HAIDIR

Apa Usu cakap ni?

SA’ADAH

Ya! Kalau Along nak sangat, Usu sain ...

Tak! Usu tak cakap pasal tanah

kat Pulau Pinang yang dulu tu.

Tapi tu, nampak?

Sa’adah menuding jari ke arah banner iklan.

Lampu isyarat bertukar hijau. TIN! TIN! Kereta di belakang van mereka membunyikan hon. Haidir membaca sekilas pandang banner iklan itu sambil menukar gear van dan terus memandu.

HAIDIR

Betul?

Sa’adah tersenyum simpul dan mengangguk.

DISSOLVE TO:

EXT. KLINIK SWASTA/TEMPAT LETAK KERETA - DAY

SUPERIMPOSE: JANUARI 2008

Terpapar jelas papantanda KLINIK SWASTA AMPANG PUTERI di bangunan.

Kereta Toyota Innova yang dipandu oleh Tajudin bergerak keluar dari tempat letak kereta.

CUT TO:

INT. KERETA TAJUDIN - DAY

TET! TET! TET! Tajudin memandu sambil mendail telefon hand-freenya. Mak Badar kelihatan sugul duduk di sisinya.

TAJUDIN

Hello Kak Yen, kita orang on the way ni. Confirmed!

Mama punya sakit darah tinggi makin serius ...

doktor kata--

(on the phone)

TRUT! TRUT! Telefon Tajudin berbunyi dan memaparkan panggilan menunggu nama AZLINA.

TAJUDIN

--Kak Yen kejap, ada call in.

Kita bincang nanti macamana.

(on the phone)

TET! Tajudin menekan butang END panggilan pertama dan menekan butang ANSWER panggilan Azlina.

TAJUDIN

Yes Lin! Ada borang lain pulak?

(on the phone)

Tajudin menjeling pada Mak Badar yang menarik muka masam.

TAJUDIN

You tau tak tadika yang

kat hujung taman perumahan I tu? ...

Yes, yes, I am going to pick up Alif

around 6PM ... Ok, ok, kita jumpa kat sana je lah.

Thanks again dear.

(on the phone)

TET! Tajudin menekan butang END panggilan Azlina.

MAK BADAR

Layan sangat budak tu?

(pada diri sendiri)

TAJUDIN

Budak tu mana?

(ketawa sinis)

MAK BADAR

Bertih jagung tulah.

TAJUDIN

Alah mama, dia uruskan tuntutan

insuran arwah Salima, itu je.

Memang dia ejen nombor satu ...

tapi bukan nombor dua saya ma!

MAK BADAR

Tapi kat rumah kau tu kena ada orang ketiga,

macam Sa’adah. Mama boleh kira,

berapa kali sangat kau ada kat rumah?

Kau nak Alif membesar dalam tadika?

TAJUDIN

Eh, mama ni! Jangan kirakan sangat pasal kami lah.

Nanti nombor darah tinggi mama pulak yang naik.

MAK BADAR

Sebab tulah kau kena berkira-kira sekarang!

TAJUDIN

Maksud mama?

MAK BADAR

Sa’adah. Satu-satunya yang

paling sesuai jaga Alif. Kau setuju?

TAJUDIN

Hah? Mama nak saya jadi

duda pertama di dunia,

sebulan lepas isteri meninggal,

kahwin dengan orang gaji sendiri--

MAK BADAR

--bekas pembantu rumah!

TAJUDIN

Ok, mama nak saya meminang

bekas pembantu rumah sendiri--

MAK BADAR

--yang menjaga Alif selama ini!

TAJUDIN

Tapi ma--

MAK BADAR

--untuk Alif! kerana Alif, Din!

TAJUDIN

--walaupun bukan pilihan saya?

MAK BADAR

--kau ada pilihan lain?

Tajudin memperlahankan panduan kereta dan memberi signal ke KANAN di simpang tiga. Dia terkebil-kebil memandang papantanda JALAN SEHALA arah ke KIRI.

TIN! TIN! TIN! TIN! Sebuah bas sekolah yang berada di belakang kereta mereka membunyikan hon dan memberikan FLASH lampu berkali-kali.

DISSOLVE TO:

EXT. JALANRAYA - DAY

TIN! TIN! TIN! TIN! Kereta Tajudin membunyikan hon dan memberikan FLASH lampu berkali-kali.

Sebuah bas ekpress yang tertera plat destinasi: PULAU PINANG di cermin depan berada di depan kereta Tajudin. Kedua kenderaan berhenti di hentian kecemasan.

CUT TO:

EXT/INT. BAS EKPRESS - DAY

HISS! PEMANDU BAS menekan butang pembuka pintu otomatik dimana Tajudin tercegat di luar.

PEMANDU BAS

Tertinggal?

TAJUDIN

Maaf! Maaf bang! Emergency!

PEMANDU BAS

Lain kali baca tiket betul-betul, pukul berapa jalan!

TAJUDIN

Bukan! Bukan saya yang tertinggal bang!

Ada penumpang bas ni yang awal sangat pergi!

PEMANDU BAS

Kau hilang akal ke apa? Ha! Cepat!

Nanti bas aku ni pulak yang lambat!

Sa’adah muncul di sisi pemandu bas, memegang beg tangannya.

SA’ADAH

Abang Din?

Tajudin mengeluarkan satu tin sardin saiz kecil dari poket seluarnya dan memberikan pada Sa’adah yang kebingungan.

TAJUDIN

Hari tu, awak kata kalau saya nak yang fresh--

SA’ADAH

--yang fresh?

TAJUDIN

--dalam peti ais! yang fresh!

SA’ADAH

--oh! yang fresh! si Amin yang jual ikan,

setiap pagi pukul lapan lebih ...

TAJUDIN

--boleh awak tolong?

(overlapping)

SA’ADAH

--semua ada, ikan, sayur, ulam,

sotong, ketam, udang ...

TUT! TUT! Sesuatu berbunyi dari dalam beg tangan Sa’adah. Dia mengeluarkan sebuah walkie-talkie mainan yang menyala butang ON-hijau.

ALIF (O.S. ON WALKIE-TALKIE)

Calling Aunty! Calling Aunty!

Mak Badar dan Alif yang memegang walkie-talkie mainan muncul di belakang Tajudin.

ALIF

Malam tu, aunty janji nak bawa Alif

tengok sawah padi kan?

Sa’adah tergamam dengan matanya mula bergenang.

MAK BADAR

Kami nak pinang kamu Sa’adah!

SA’ADAH

--Pulau Pinang! ya! ya! saya nak ke Pulau Pinang!

Kat sana pun ada yang fresh, sawah padi pun ada ...

(overlapping)

TAJUDIN

--awak! awak tolong belikan!

(overlapping)

ALIF

--aunty! Alif nak tengok sawah padi kat sini!

(overlapping)

Sa’adah menghampiri pemandu bas yang tersenyum simpul.

SA’ADAH

Err! abang nak sardin ni?

Pemandu bas tersenyum mengangguk. Semua penumpang bertepuk tangan.

DISSOLVE TO:

INT. RUMAH KAMPUNG/BILIK SA’ADAH - NIGHT

Suasana sebuah bilik pengantin dimana sebuah tepak sirih dan timbunan kotak-kotak hadiah di atas katil yang berhias dengan kelambu.

Kelihatan Sa’adah yang berpakaian baju kurung pengantin sedang merenung jauh wajahnya sendiri di dalam cermin.

Perlahan-lahan dia membuka sanggul palsu di kepalanya dan mengelap solekan dari mukanya dengan tisu. Tangannya kelihatan menggigil perlahan.

Sa’adah merenung cincin nikah di jari manisnya yang merah berinai. Dia cuba menggerak-gerakkan cincin itu sambil dahinya berkerut-kerut tidak selesa dengan saiznya yang agak ketat.

TUK! TUK! TUK! Seseorang mengetuk pintu bilik lalu Sa’adah segera membukanya. Tajudin tercegat mendukung Alif yang menggaru-garu tangannya. Tajudin berpakaian baju Melayu pengantin.

TAJUDIN

Maaflah. Kat luar banyak nyamuk.

SA’ADAH

Hah?

Tajudin memandang ke arah katil dan kelambu.

SA’ADAH

Oh!

Sa’adah segera mengangkat tepak sirih dan hadiah lalu meletakkan semuanya di satu sudut bilik.

Tajudin membaringkan Alif di atas katil dan Sa’adah menurunkan pintu kelambu. Sa’adah dan Tajudin duduk di lantai menyandar katil.

SA’ADAH

Kampung sawah padi, memang macam ni, banyak nyamuk.

Sa’adah tersenyum memandang cincin di jarinya.

SA’ADAH

Kurang selesa sikit.

TAJUDIN

Alif, saya, err, abang ok je, selesa.

Awak jugak yang bagi tahu kan?

SA’ADAH

Eh! Abang tak pernah tanya pun?

TAJUDIN

Awak yang cakap kulit Alif tu sensitif kan?

Apa lagi kalau kena gigit nyamuk.

Sa’adah ketawa kecil lalu meregangkan tapak tangan kirinya menunjukkan cincin ke muka Tajudin.

TAJUDIN

Oh! Ketat ke? Itu yang kurang selesa?

(agak nyaring)

SA’ADAH

Syyy! Kat luar tu berlonggok sedara-mara lah!

(berbisik sambil mencubit paha Tajudin)

Keduanya menutup mulut masing-masing menahan ketawa.

DISSOLVE TO:

EXT/INT. SELURUH RUMAH TAJUDIN/TANAH PERKUBURAN - DAY/NIGHT

MONTAGE:

1. RUMAH TAJUDIN: Tajudin membuka pintu pagar rumahnya diikuti oleh Sa’adah yang tersenyum memegang beg di tangan kirinya dan Alif memegang tangan kanannya.

2. BILIK TIDUR: Sa’adah mengemaskan katil yang berselerak. Tajudin bertuala keluar dari bilik mandi. Keduanya tersenyum sesama sendiri.

3. DAPUR RUMAH: Sa’adah membetulkan tali leher Tajudin. Alif tersenyum memandang mereka sambil bersarapan.

4. RUANG TAMU: Sa’adah dan Alif bermain video-game tv bersama. Tajudin di sisi mereka, tersenyum sambil meneliti kertas kerjanya.

5. KUBUR JUNAIDAH: Tajudin menyiram air mawar. Sa’adah dan Alif menaburkan bunga rampai.

DISSOLVE TO:

INT. RUMAH TAJUDIN/RUANG TAMU - NIGHT

SUPERIMPOSE: FEBRUARI 2008

Tajudin membuka pintu depan dan masuk ke ruang tamu berpakaian balik pejabat dengan wajah kepenatan. Keadaan sangat sunyi dan suram dengan hanya lampu tangga yang malap terpasang.

TAJUDIN’s P.O.V. -- Jam di tangannya menunjukkan pukul 1:15 pagi. Kelihatan kelibat seseorang berselimut putih sedang berbaring tidur di atas sofa.

TRAK! Tajudin meletakkan kunci kereta di atas meja tulisnya lalu mengejutkan kelibat itu.

TAJUDIN’s P.O.V. -- Dalam kesuraman cahaya, kelibat itu mendekatinya perlahan-lahan menyerlahkan wajahnya iaitu SALIMA!

Tajudin menggonyohkan matanya yang terbeliak berkali-kali lalu terus terduduk di kerusi berhadapan meja tulis.

TAJUDIN

Sal! ... Salima?

KETAP! Kelibat itu segera menekan suis lampu-bacaan di atas meja tulis menyerlahkan wajah sebenarnya iaitu SA’ADAH!

SA’ADAH

Abang! Ni saya bang! ... Sa’adah!

Saya tunggu abang balik.

Sa’adah menepuk-nepuk tangan Tajudin yang menggeletar dengan wajah kehairanan sambil merenung tajam muka Sa’adah.

Tajudin yang menggigil-gigil lantas memeluk Sa’adah di bahagian perut. Sa’adah mengusap-usap rambut Tajudin menenangkannya.

Dari simbahan cahaya lampu-bacaan, jelas kelihatan wajah Sa’adah yang berkerut kecewa dan mengetap bibir menahan sedih tanpa Tajudin sedari.

DISSOLVE TO:

INT. RUMAH TAJUDIN/BILIK TIDUR - DAY

Kelihatan Tajudin sedang tidur berselimut di atas katil dan Sa’adah pula berdiri berhampiran tingkap.

TERAP! Sa’adah menyelak langsir tingkap menyimbahkan cahaya terang ke dalam bilik juga ke atas katil. Tajudin terkejut dan kesilauan mata.

TAJUDIN

What the! ...

SA’ADAH

--Ops! Maaf bang, dah pukul 12, kan hari ni ...

Alif muncul di muka pintu lantas menaiki katil dan melompat-lompat kegirangan di sisi Tajudin.

ALIF

Papa! Bangun! Kata nak gi pool KLCC!

(nyaring)

Tajudin bingkas bangun lalu mencampakkan bantal ke lantai dan bergegas ke bilik mandi sambil membebel.

TAJUDIN

Ishh! Tak boleh nak tengok

orang senang sikit!

(hampir menjerit)

Alif berubah muka merajuk lalu Sa’adah menghampirinya duduk di atas katil.

ZASS! Dari dalam bilik mandi, kedengaran paip mandian di pasang dan suara Tajudin membebel lagi.

TAJUDIN (O.S.)

Masa ada mama dulu,

tak pulak sebok nak ke pool lah! KLCC lah!

Entah siapalah yang ajar?

Alif mencebikkan bibir hendak menangis lalu Sa’adah memeluknya, memujuk dan menenangkan.

ALIF

Ibu, papa dah janji semalam kan?

SA’ADAH

Papa penat agaknya. Lain kali ya.

Alif mandi dalam kolam plastik kat laman, ok?

DISSOLVE TO:

INT. RUMAH TAJUDIN/HALAMAN RUMAH - DAY

SUPERIMPOSE: MAC 2008

Kelihatan bas sekolah tadika bergerak perlahan dimana Alif yang berpakaian tadika melambai tangan dan tersenyum dari dalam bas.

Sa’adah yang mengandung 2 bulan membalas lambaian Alif di pintu pagar.

Tajudin memandu keretanya keluar dari halaman rumah mengekori bas itu tanpa memandang atau melambai Sa’adah.

Jelas kelihatan riak wajah Sa’adah yang kecewa mengekori pergerakan kereta Tajudin.

Kemudian Sa’adah mengunci pintu pagar dan berjalan menuju ke rumah Kak Zita, selang tiga buah rumah.

CUT TO:

INT. KERETA TAJUDIN - DAY

TRUT! TRUT! Telefon hand-free Tajudin berbunyi dan memaparkan nama AZLINA. TET! Tajudin menekan butang ANSWER.

TAJUDIN

Hello Lin. Apa cerita?

(on the phone)

AZLINA (O.S.)

Good news! Cek you dah ready.

TAJUDIN

Alright!

AZLINA (O.S.)

Sekarang you dah dikira separa jutawan!

RM500 ribu!

TAJUDIN

Thanks to you my dear!

AZLINA (O.S.)

I boleh jumpa you tak masa lunch nanti?

Hotel Concorde?

TAJUDIN

Ok. Bilik no berapa?

AZLINA (O.S.)

Helloo! I mean kat Melting Pot Cafe, Hotel Concorde!

Amboi! Nak jadikan I perempuan simpanan pulak ke?

Yang kat rumah tu, siapa?

TAJUDIN

Yang kat rumah tu namanya ‘orang rumah’ lah!

My babysitter!

CUT TO:

EXT. SIMPANG JALAN TAMAN PERUMAHAN - DAY

Sebuah lori penjual ikan, Amin di sebuah simpang jalan dikerumuni oleh beberapa ORANG WANITA yang sebok tawar-menawar barangan dapur dari Amin.

Sa’adah dan Kak Zita berjalan beriringan memegang bakul menuju ke situ.

KAK ZITA

Akak pelik jugak kau ni.

SA’ADAH

Apanya?

KAK ZITA

Resepi-resepi sedap yang kau buat sendiri,

satu pun bukan dalam list mengidam kau?

SA’ADAH

Budak ni punya list Kak Zita.

Dia nak udang galah masak lemak!

(memegang perut)

Launchingnya bila Kak?

KAK ZITA

Bulan depan. Kalaulah kau tak mengandung, boleh ikut.

Jenuh kami mengajar mat salih tu

cara yang betul ikut resepi kau.

SA’ADAH

Ai! Bukan dah title Chef mesti tahu semua ke?

KAK ZITA

Mananya Chef! Culinary student je. Part time.

Memula ni, akak dengan Abang Musa jugak

yang pegang kuali sendiri.

SA’ADAH

Maaflah kak. Buat masa ni, memang kuali kat rumah

tu saja yang saya mampu pegang,

masak untuk Abang Din dan Alif.

KAK ZITA

Almaklumlah! Surirumah mithali! Full time!

SA’ADAH

Tapi tulah ...

saya pun tak tahu apa silapnya lagi ...

Sa’adah dan Kak Zita menghampiri lori Amin.

AMIN

--Apa? Apa yang full time? Saya? Saya ke?

KAK ZITA

Amin, kau memang prime time kami

pukul lapan pagi setiap hari!

AMIN

Alah! Apalah akak ni.

Saya, saya bekalkan apa-apa yang patut je.

Kak Zita perasankan Sa’adah yang tidak habis bercerita.

KAK ZITA

Sa’adah, apa kau kata tadi? Silap?

Silap apanya?

SA’ADAH

Oh! Resepi baru saya tu ...

kadang-kadang ada ramuan yang silap.

Sa’adah segera menukar topik dan mendekati Amin.

SA’ADAH

Bekalan untuk saya?

AMIN

Ada! Ada! Ni ha! Kepala ikan kerisi besar!

Amin berikan bungkusan plastik pada Sa’adah.

KAK ZITA

Eh! Kata mengidam udang galah? Resepi baru ke Dah?

SA’ADAH

Oh yang ni? Hari ni harijadi Abang Din.

Kegemaran dia. Resepi pun istimewa untuk dia seorang.

Memang resepi baru. Tapi tak boleh jual pada akak ya!

Sa’adah meneliti isi bungkusan plastik pemberian Amin.

SA’ADAH

Er, terong tak ada ke Min?

AMIN

Alamak! Alamak! Baru, baru je Kak Jah borong semua.

Nanti saya singgah, singgah rumah awak kasi.

SA’ADAH

Susahkan kau je Min.

AMIN

Eh! Tak apa, tak apa.

Saya, saya kena jaga hati pelanggan tetap saya!

Nanti, nanti saya special delivery!

Seorang gadis muda menaiki skuter, JOJIE (19) berhenti di tepi lori.

Amin bergegas menghampirinya lalu Jojie memberikan sebungkusan plastik pada Amin. Jojie kemudiannya beredar.

Kak Zita memandang serong pada Amin.

KAK ZITA

Amboi! Kau pun ada special delivery juga Min?

AMIN

Alah! Tu Jojie, anak, anak Mak Jenab

yang jual, jual nasi lemak.

Tadi, tadi tak sempat singgah gerai dia.

Amin tersipu-sipu. Sa’adah tersenyum sinis.

SA’ADAH

Satu lagi Min.

AMIN

Ya! Ya! Saya tau!

Amin memberikan satu lagi bungkusan plastik pada Sa’adah.

AMIN

Yang, yang ni memang saya takkan lupa.

Udang, udang galah. Saya, saya orderkan semalam.

Fresh! Memang fresh saya orderkan! Special!

KAK ZITA

Udang tu nyorok sebalik batu tak?

AMIN

Hah? Oh! Ikan, ikan kepala batu? Ada! Ada!

Sa’adah menyegilkan mata dan mencuit pinggang Kak Zita yang ketawa terbahak-bahak.

CUT TO:

INT. RUMAH KAMPUNG/DAPUR - DAY

Haidir mengira resit-resit jualan kedai runcit di meja makan. Maria berbaring di kerusi malas berhampirannya, menonton televisyen sambil memegang kipas tangan.

MARIA

Saya ni bukannya kepala batu bang.

HAIDIR

Habis tu?

MARIA

Kepala konkrit!

HAIDIR

Abang malulah.

MARIA

Malu apanya? Adik awak jugak!

Setakat 10 ribu, kaya-raya macam tu

takkanlah tak boleh pinjamkan?

HAIDIR

Laki dia yang kaya.

MARIA

Ha! Sebab tulah dia kena tolong abang

dengan kakak ipar sekali-sekala.

HAIDIR

Dulu awak kata duit pajak rumah ni buat bersalin.

Semua awak yang pegang kan? Satu sen pun Sa’adah tak dapat.

Ha! Mana perginya beribu-ribu tu?

MARIA

Ai! Toyota Unser tu apa bang?

Sekarang kan selesa sikit nak ke sana-sini.

HAIDIR

Yalah tu. Yang kat leher, tangan awak tu

pun selesa jugak kan?

Maria bingkas bangun dan duduk di sisi Haidir.

MARIA

Awak ni! Dia pun tengah mengandung bang.

Mesti dia kesian tengok saya. Jomlah bang ke KL.

Due saya pun tak lama lagi ni.

DISSOLVE TO:

EXT. RUMAH TAJUDIN/HALAMAN RUMAH - DAY

Sebuah bas sekolah berhenti di depan rumah Tajudin. Alif turun dari bas itu menekan loceng pintu pagar. Tiada jawapan. Alif tekan lagi berkali-kali.

Kemudian, kereta Tajudin tiba. Dia keluar kehairanan melihat Alif yang berpeluh kepanasan.

TAJUDIN

Ibu mana?

ALIF

Entah. Alif dah tekan banyak kali.

Tajudin mengeluarkan kunci rumah dari poket seluarnya.

INTERCUT TO:

EXT. RUMAH TAJUDIN/LUAR DAPUR - DAY

Sa’adah sedang memetik daun-daun pokok kari. Berdekatannya, Amin berada di atas pokok mangga sedang memetik buah mangga. Sesekali keduanya ketawa kecil.

SA’ADAH

Nasib baik kau ada Min.

Tadi Kak Zita cuba nak panjat

sampai nak terlondeh kainnya!

Ni baru je dia balik kejap nak tukar pakai seluar.

AMIN

Alah! Panjat, panjat-memanjat ni pun

saya pandai juga! Sementara saya, saya ada ni,

bolehlah tolong, tolong awak.

INTERCUT TO:

INT. RUMAH TAJUDIN/DAPUR - DAY

Tajudin masuk ke dapur.

TAJUDIN’s P.O.V. -- Di atas meja kabinet, cerek elektrik berasap muncungnya dan bunyi air menggelegak. Di atas dapur gas, seperiuk udang galah masak lemak yang semakin kering kuahnya mula berasap kehitaman.

Tajudin mengerutkan dahi dan menutup hidungnya lalu segera menutup suis api dapur gas.

TAJUDIN

Hiss! Masak apa? Sampai hangit! Ke mana pulak? ...

Tajudin terdengar bunyi orang ketawa di luar lalu menghampiri tingkap dapur dan menguak sedikit cerminnya.

TAJUDIN’s P.O.V. -- Amin hendak tersungkur turun dari pokok mangga lalu Sa’adah segera memegang kaki Amin untuk menstabilkannya. Keduanya ketawa lagi.

Alif masuk ke dapur tanpa Tajudin sedari.

ALIF

Papa! Ibu mana?

(agak kuat)

TAJUDIN

Syyy!

(isyarat tangan)

Tajudin segera menarik tangan Alif ke ruang tamu.

INTERCUT TO:

EXT. RUMAH TAJUDIN/LUAR DAPUR - DAY

Sa’adah dan Amin terdengar suara Alif tadi. Segera Amin serahkan buah mangga di tangannya pada Sa’adah dan bergegas melalui lorong belakang dapur deretan rumah teres. Sa’adah terpinga-pinga.

SA’ADAH

Min! Min! Duit terung! Duit terung!

Dari jauh, Amin berisyarat tangan makna tidak payah.

CUT TO:

INT. RUMAH TAJUDIN/DAPUR - DAY

Sa’adah membuka pintu dapur lalu masuk membawa seplastik terung serta bakul berisi daun kari dan buah mangga. Dia letakkan semuanya di atas meja kabinet.

Pandangan Sa’adah lekas tertumpu pada periuk udang galah yang semakin berkepulan asap ke seluruh ruang dapur. Dia segera ke sinki menadah air paip ke dalam blender yang terperosok di antara timbunan pinggan-mangkuk yang belum dibasuh. Dia sesekali terbatuk dan menutup hidungnya dengan lengan baju.

Terkocoh-kocoh Sa’adah mencurahkan air dari blender yang bersisakan cili kering ke dalam periuk. HISS! Kepulan asap semakin menjadi-jadi diiringi bunyi letusan terbakar serta percikan dari periuk.

Sa’adah panik. Tajudin tiba-tiba masuk ke dapur. Alif menyorok di belakangnya terhendap-hendap.

Sa’adah terpinga-pinga.

SA’ADAH

Abang! Alif! Korang dah balik?

ALIF

Ibu masak apa ni?

Tajudin merenung serius pada Sa’adah yang tersenyum kelat.

DISSOLVE TO:

INT. RESTOREN - NIGHT

Tajudin, Sa’adah dan Alif duduk semeja di satu sudut restoren. Mereka meneliti buku menu masing-masing. Seorang PELAYAN RESTOREN (18) berdiri di sisi meja mengambil pesanan.

TAJUDIN

Kari kepala ikan kerisi, ayam goreng kunyit,

terung goreng, sambal belacan dan teh-O ais limau.

ALIF

Alif nak milo ais. Ibu?

SA’ADAH

Er, udang galah masak lemak tak ada dalam menu ni.

Jadi ibu makan apa yang papa pesan sajalah.

TAJUDIN

Pesanlah apa-apa dalam menu tu.

PELAYAN

Apakata puan cuba udang masak petai?

SA’ADAH

Petai? Oh! Tidak! Nanti saya mual.

PELAYAN

Nak cuba nasi goreng udang istimewa kami?

SA’ADAH

Apa bahan-bahan dalamnya?

TAJUDIN

Haiii! Boleh cepat sikit tak?

(mula hilang sabar)

SA’ADAH

Oklah, nasi goreng udang

tapi tak nak bubuh Ajinomoto atau cili api.

Air, soya bean.

Pelayan mengambil semua buku menu dan berlalu pergi dengan tersenyum sinis.

Semua terdiam. TET! TET! TET! Tajudin menekan-nekan butang telefon bimbitnya tanpa tujuan. Sa’adah memerhatikan pelanggan lain di dalam restoren dengan wajah tidak keruan.

Alif yang duduk di tengah keduanya memandang Tajudin dan Sa’adah terpinga-pinga. TING! TONG! TING! TONG! Tiba-tiba Alif mengetuk-ngetuk gelas air kosong dengan sudu yang tersusun di atas meja.

TAJUDIN

Alif! Stop it!

(nyaring)

Alif terkejut dan mukanya berubah hendak menangis. Sa’adah mengusap kepala Alif memujuknya.

TAJUDIN

Macamlah awak tak tahu.

SA’ADAH

Apa salahnya kalau saya masak?

TAJUDIN

Sejak bila pulak birthday saya makan kat rumah?

SA’ADAH

Sejak saya jadi isteri abanglah.

Dulu, arwah Salima sebenarnya pernah

cakap pada saya dia nak sambut

harijadi Abang atau Alif kat rumah.

Tapi dia tak ada masa nak masak.

Bukannnya tradisi wajib makan kat luar.

TAJUDIN

Jangan libatkan Salima!

Lagipun hari ni birthday saya!

Suara Tajudin agak kuat sehingga beberapa orang pelanggan di meja berdekatan memandang ke arah mereka.

TAJUDIN

Saya tak pernah suruh awak ubah apa yang saya buat.

SA’ADAH

Abang tak suruh apa-apa pun.

Saya buat sukarela istimewa untuk Abang.

TAJUDIN

Sampai nak bakar rumah sebab jantan tu?

SA’ADAH

Apa? Oh! ...

(tersenyum)

Ini semua tak ada kena-mengena

dengan masak lemak udang galah saya

yang hangit kan? Atau sambut harijadi

di rumah atau di luar kan? Ini semua pasal abang ...

ALIF

--papa, Alif nak gi toilet.

Pelayan tadi datang membawa sedulang air minuman dan menghidangkan di atas meja. Tajudin dan Sa’adah berpura-pura tersenyum pada pelayan.

TAJUDIN

Dik, pesanan makan tadi dah buat ke belum?

PELAYAN

Tengah masak encik.

TAJUDIN

Bagus. Adik bungkuskan semuanya bila dah siap.

PELAYAN

Er, ada apa-apa yang saya silap ke encik?

TAJUDIN

Tak! Adik tak silap apa-apa.

Mungkin saya yang silap selama ni!

PELAYAN

Apa?

(terpinga-pinga)

TAJUDIN

Toilet kat mana Dik?

PELAYAN

Kat hujung sana, sebelah kiri.

(menuding jari ke arah tandas)

Tajudin memimpin tangan Alif menuju ke tandas meninggalkan Sa’adah dan pelayan.

PELAYAN

Kenapa tu puan?

SA’ADAH

Percayalah cakap akak ... adik mesti tak nak tahu.

Er, ingat tau, nasi goreng udang Akak tak nak cili api ya.

Sa’adah tersenyum kelat pada Pelayan.

CUT TO:

INT. RUMAH TAJUDIN/BILIK TIDUR - NIGHT

Tajudin keluar dari bilik mandi memakai baju tidur sambil mengesat mukanya dengan tuala.

Sa’adah masuk ke bilik memakai kain batik dan baju T. Dia terus menuju ke katil lalu menebarkan selimut dan menepuk-nepuk bantal.

Tajudin terpaku geram memandang Sa’adah.

SA’ADAH

Alif minta Abang belikan buku cerita yang baru.

Dia kata buku cerita yang lama tu

dia dah bosan, sampai dah hafal jalan ceritanya.

Dia nak ...

Sa’adah perasankan Tajudin yang merenung tajam padanya.

SA’ADAH

Kenapa bang?

TAJUDIN

Awak dah melampau!

SA’ADAH

Hah?

TAJUDIN

Tu! Kain batik tu!

(memekik)

SA’ADAH

Abang, sabar bang.

Kenapa dengan kain batik ni?

TAJUDIN

Siapa suruh awak pakai?

Kenapa awak selongkar kotak pakaian Salima?

Aku tak pernah bagi sesiapa

sentuh barang dia! Kau ingat kau siapa?

SA’ADAH

Abang, saya tak pernah selongkar

apa-apa barang arwah Salima.

Kain batik ni, kain batik ni ...

Alif muncul di pintu bilik memeluk bantal. Tajudin bergegas keluar bilik tanpa menghiraukan jawapan Sa’adah dan kehadiran Alif.

SA’ADAH

... kain batik ni saya beli kat kedai semalam.

Ya ... coraknya sama.

(pada diri sendiri)

Sa’adah terduduk di atas katil memegang perut dan kepenatan.

BANG! Kedengaran bunyi pintu ruang tamu ditutup dengan kuat. BROOM! diikuti dengan bunyi enjin kereta dihidupkan.

Sa’adah mendekati tingkap dan menyelak langsir melihat ke luar.

SA’ADAH’s P.O.V. -- Kereta Tajudin memecut ke luar dari garaj.

Alif masuk ke bilik tidur terus memeluk Sa’adah.

ALIF

Ibu, kenapa papa marah ibu?

Sa’adah tidak menjawab. Dia mula menangis.

CUT TO:

EXT/INT. KERETA TAJUDIN/TANAH PERKUBURAN - NIGHT

Terpapar jelas papantanda TANAH PERKUBURAN ORANG ISLAM di sisi pintu pagar .

Kereta yang dipandu oleh Tajudin sedang berhenti dengan enjin dan lampunya masih terpasang.

TAJUDIN’s P.O.V. -- Jam di panel pemanduan kereta menunjukkan pukul 1:18 pagi.

TRUT! TRUT! Telefon bimbit Tajudin berbunyi dan memaparkan panggilan nama SA’ADAH. TEEET! Segera Tajudin menekan butang OFF menutup isyarat telefon bimbitnya.

Tajudin yang masih berpakaian baju tidur duduk di tempat pemandu sambil memandang ke kanan arah tanah perkuburan itu. Dia hanya membatu.

Persekitarannya sangat sunyi dan tenang.

TUK! TUK! Tiba-tiba cermin tingkap kereta diketuk seseorang dari sebelah kiri. Tajudin tersentak. Seorang lelaki tua, PENJAGA KUBUR (70an) tercegat sambil menyuluh lampu picitnya pada muka Tajudin.

PENJAGA KUBUR

Encik buat apa kat sini kubur orang Islam?

SRETT! Tajudin menekan butang otomatik kereta di sisi lengannya lalu menurunkan tingkap kereta perlahan.

TAJUDIN

Oh! Saya orang Islam, pakcik.

PENJAGA KUBUR

Assalamu’alaikum. Maafkan pakcik, nak.

TAJUDIN

Wa’alaikumsalam. Tak apa.

PENJAGA KUBUR

Anak nak melawat kubur ke?

TAJUDIN

Ha ah, ya.

PENJAGA KUBUR

Tak sempat nak tengok kebumi siang tadi ya?

Anak ni saudara Haji Ilias yang meninggal pagi tadi?

TAJUDIN

Eh, tidak. Isteri saya yang meninggal.

Dah dekat 3 bulan lebih.

PENJAGA KUBUR

Habis kenapa malam-malam ni anak datang melawat?

TAJUDIN

Entah.

PENJAGA KUBUR

Anak rindukan dia agaknya?

Tajudin menganggukkan kepala lalu berpaling ke arah kanan kubur. Tajudin menyembunyikan matanya yang mula bergenang airmata.

PENJAGA KUBUR

Cuma kat dalam tu gelap sangat.

Kalau nak, pakcik boleh temankan

dengan lampu picit ni. Tapi kalau boleh,

esok sianglah, terang-benderang.

TAJUDIN

Terang-benderang? Entahlah pakcik,

saya tak tahu samada hari esok saya macam tu.

PENJAGA KUBUR

--Sebab hari ni hidup kamu gelap?

(pause)

Anak, kalau kamu rindukan dia sangat,

bacakan Yassin, sedekahkan Fatihah pada dia banyak-banyak.

Anak bersabarlah ya.

Tajudin mengangguk lagi. Penjaga Kubur meninggalkan Tajudin sendirian yang mula menangis teresak-esak.

CUT TO:

INT. RUMAH TAJUDIN/RUANG TAMU - NIGHT

TET! TET! Sa’adah duduk di sofa teresak-esak menangis, menekan butang DIAL telefon bimbitnya nama ABANG. Alif sedang tidur di sisinya memegang walkie-talkie mainan.

Berdekatannya, Kak Zita berdiri sambil bercakap di telefon bimbitnya.

Keduanya kelihatan keluh-kesah.

KAK ZITA

Baru sekejap tadi meninggal pukul 1 lebih kat HKL.

Aunty kena serangan darah tinggi

kat rumah orang tua dia menginap tu lah ...

Tadi Yen telefon bagi tahu Sa’adah ...

Ni ha bang, si Tajudin, dia tak tahu lagi

sebab dia tutup telefon sejak keluar tadi ...

Tak tahu! Sa’adah tak tahu dia pergi mana.

Tu pun Sa’adah tengah cuba dail lagi tu ...

Abang, esok Zita telefon Abang balik ya.

Nanti banyak pulak bil telefon.

(on the phone)

TET! Kak Zita menekan butang END panggilan telefon bimbitnya.

Sa’adah berjalan ke meja tulis dimana tergantungnnya gambar besar persandingannya dengan Tajudin. Sa’adah merenung gambar itu sejenak dan tersenyum kelat. Kemudian, Sa’adah membuka laci dan mengeluarkan pen dan kertas lalu menulis sesuatu.

KAK ZITA

Ginilah. Akak drive korang ke HKL.

Sa’adah berjalan ke dapur dan sejurus muncul semula menuju tangga hendak naik ke atas. Kak Zita pula mendukung Alif yang sedang lena masih memegang walkie-talkie mainannya menuju ke pintu depan. Sa’adah berhenti di pertengahan anak tangga.

SA’ADAH

Abang Din mengamuk sangat tadi tu.

Semua salah saya agaknya.

Kak Zita berpaling pada Sa’adah. PEK! Pada waktu yang sama walkie-talkie mainan Alif terlepas dari genggamannya lalu jatuh berhampiran pintu tidak jauh dari meja tulis.

KAK ZITA

Taklah! Salah faham je kan? Cepatlah siap.

Ish! Berat juga budak comel ni.

CUT TO:

INT. KONDOMINIUM/DEPAN PINTU RUMAH AZLINA - NIGHT

TET! TET! Tajudin menekan butang loceng rumah bernombor B-18-3.

Azlina yang berpakaian baju tidur dan rambut kusut-masai membuka pintu kehairanan.

AZLINA

Tajudin? What happen?

TAJUDIN

I nak tumpang tidur rumah you.

FADE TO BLACK.

FADE IN:

INT. RUMAH TAJUDIN/RUANG TAMU - DAY

TET! Tajudin menekan butang ON telefon bimbit dan mencampakkannya ke atas sofa. Baju tidurnya kelihatan ronyok. Keadaan rumah sangat sunyi membuatkan Tajudin gelisah tanpa sebab.

TAJUDIN

Merajuk balik kampung? Takkan lari dari rumah?

(pada diri sendiri)

Tajudin berjalan menuju ke dapur.

CUT TO:

INT. RUMAH TAJUDIN/DAPUR - DAY

Tajudin menghampiri peti ais.

TAJUDIN’s P.O.V. -- Sehelai kertas tulisan tangan Sa’adah terlekat di pintu peti ais: ABANG, MAK MENINGGAL PUKUL 1 PAGI TADI SEBAB KEJUTAN DARAH TINGGI. TELEFON BALIK SEGERA. MAAFKAN SAYA. SA’ADAH.

Wajah Tajudin berubah terkejut. BEEP! BEEP! BEEP! Kedengaran telefon bimbitnya berbunyi berkali-kali nada isyarat ada pesanan SMS tiba.

Tajudin berkejar ke arah ruang tamu semula.

CUT TO:

INT. RUMAH TAJUDIN/RUANG TAMU - DAY

Tajudin mengambil telefon bimbit dan melihat skrinnya.

TAJUDIN’s P.O.V. -- logo SMS berkelip-kelip menunjukkan ada 7 SMS belum dibaca dan 10 MISS-CALL.

TET! TET! Tajudin segera menekan butang DIAL telefonnya nama SA’ADAH sambil bergegas menuju ke pintu depan dengan tidak tentu-arah.

Dengan tidak sengaja, Tajudin terpijak walkie-talkie mainan Alif di atas lantai lalu tergelincir hilang kawalan ke arah meja tulis.

BANG! Leher dan kepala Tajudin terhentak keras di bucu meja tulis.

BANG! Hentaman kuat itu menggegarkan dinding lalu menyebabkan gambar besar tercabut dan jatuh menimpa Tajudin.

Senyap. Tajudin terbaring kaku di atas lantai. Dia tidak mengerang atau bergerak. Hanya matanya kelihatan jelas terkedip-kedip. Sejurus perlahan darah mengalir keluar dari hidung dan mulutnya.

TAJUDIN’s P.O.V. -- telefon bimbit di genggamannya kedengaran sayup-sayup suara Sa’adah.

SA’ADAH (O.S. ON THE PHONE)

Abang! Hello! Hello bang! ... Hello!

TAJUDIN’s P.O.V. -- Wajah Sa’adah yang tersenyum dalam gambar besar yang tercampak di sisinya semakin kelam dan kelam. Akhirnya gelap.

FADE TO BLACK.

FADE IN:

EXT. RUMAH TAJUDIN/HALAMAN RUMAH - DAY

SUPERIMPOSE: JUN 2008

TIN! TIN! Lori Amin berhenti di depan rumah Tajudin. Amin keluar tersenyum dari lori itu membawa sebungkus barang dalam plastik.

Sa’adah dan Azlina yang sedang duduk bersembang di meja rehat berpayung di halaman rumah memandang pada Amin.

Sa’adah segera berjalan ke arah pintu pagar.

AMIN

Macam, macam biasa.

Tapi, tapi hari ni luar, luar biasa.

SA’ADAH

Apa yang awak cakap ni Min?

Amin menyerahkan bungkusan itu pada Sa’adah.

AMIN

Yang, yang biasa kepala ikan kerisi dan, dan terung.

Abang Din punya, punya kesukaan. Biasa! Biasa kan?

SA’ADAH

Yang luar biasa?

Amin menyeluk saku seluarnya sejurus mengeluarkan sekeping sampul surat berwarna biru cair lalu menyerahkannya pada Sa’adah.

AMIN

Yang, yang ini! Luar, luar biasa!

SA’ADAH’s P.O.V. -- Mengeluarkan sekeping kad jemputan kahwin dari sampul surat itu.

Sa’adah tersenyum simpul membaca isi kandungan kad itu.

SA’ADAH

Amboi! Senyap-senyap je korang bertunang!

Saya pun tak tahu! Tahniah saya pada awak dan Jojie.

AMIN

Awak, awak tak pernah tanya pun!

Lagipun kami, kami tak nak bertunang lama-lama.

Masa, masa awak kat hospital yang kat, kat mana tu?

SA’ADAH

Kubang Kerian, Kelantan.

AMIN

Ha! Kubang, kat Kubang Kelantan ...

SA’ADAH

--Kubang Kerian, Kelantan.

AMIN

Ya! Kubang Kerian tu jaga,

jaga Abang Din kat sana dulu tu kan,

kami, kami bertunang. Dah, dah tiga bulan kan?

SA’ADAH

Ya. Sekarang jaga abang Din kat rumah.

Amin tercegat dan tersenyum simpul pada Sa’adah.

AMIN

Saya, saya pergi dulu ya.

SA’ADAH

Ok.

Amin masih tercegat dan tersenyum simpul pada Sa’adah yang juga tersenyum kembali pada Amin.

SA’ADAH

Oh! Duitnya. Baguslah kamu tak bagi

percuma lagi pada saya. Kena kumpul untuk kahwin kan?

Sa’adah menyeluk saku baju kurungnya mengeluarkan sekeping duit RM50 lalu memberikan pada Amin yang tersipu-sipu mengambilnya.

SA’ADAH

Tak payah pulangkan bakinya.

Kira saya bayar sekali yang lepas-lepas tu tau.

AMIN

Terima, terima kasih.

Amin berjalan ke arah lorinya lalu memandu pergi meninggalkan Sa’adah yang melambaikan tangan.

Sa’adah duduk semula di sisi Azlina yang menyambung perbualannya tadi.

AZLINA

Itulah cerita sebenarnya malam kejadian tu.

Tajudin tidur kat atas sofa.

Ayah dan adik-adik lelaki I pulak tidur atas karpet.

Semua tidur ramai-ramai kat ruang tamu.

Saya dengan emak tidur dalam bilik.

Semua orang memang kepenatan

jalan-jalan kat KLCC petang tu.

SA’ADAH

Ayah dan emak awak tak tanya apa-apa ke?

AZLINA

Esok paginya lepas Tajudin balik, baru dia orang tanya.

I cerita mana yang patut je.

Lagipun ayah dan emak memang kenal

dengan Tajudin dan arwah Salima.

SA’ADAH

Ya, arwah Salima.

AZLINA

Why?

SA’ADAH

Saya takkan dapat menggantikan

arwah Salima pada Abang Din.

Semua ni mungkin salah saya jugak.

AZLINA

Actually, bukan salah you Sa’adah.

SA’ADAH

Maksud awak?

AZLINA

You jangan marah kalau I katakana

semua ni mungkin salah Tajudin.

SA’ADAH

Ish awak ni!

Azlina terdiam sejenak. Azlina membuka beg tangannya dan mengeluarkan sekeping cek dan sepucuk surat berlogo SYARIKAT INSURAN lalu menghulurkannya pada Sa’adah.

SA’ADAH’s P.O.V. -- Cek itu tertulis nilai RM500,000 dengan nama Tajudin sebagai penerimanya.

SA’ADAH

Apa semua ni?

AZLINA

Masa Tajudin menikahi you dulu,

sebenarnya dia masih tidak dapat

menerima hakikat kematian Salima.

Dia hilang punca dan keliru

dengan apa yang dia mahukan.

Awalnya, pada Tajudin, you hanyalah

sebagai penjaga Alif dan masih pembantu rumah.

DISSOLVE TO:

INT. HOTEL CONCORDE/MELTING POT CAFE - DAY (FLASHBACK)

Tajudin dan Azlina duduk di satu meja sedang berbual.

TAJUDIN

Mula-mula I nak jual syarikat franchise

restoren tu pada sesiapa yang nak beli.

Dengan duit insuran setengah juta

tu pulak I nak pergi lari ke oversea dengan you, boleh?

AZLINA

Really? Habis, Alif and wife you kat rumah tu macamana?

TAJUDIN

Alah. Pandai-pandailah dia orang nak bawak diri.

Kak Yen pun memang beriya-iya sangat

nak jadikan Alif anak angkat. Biarlah dia jaga sampai besar.

Then pandai-pandailah Alif nak pilih agama mana.

AZLINA

--and how about your mama yang selalu sakit tu?

TAJUDIN

Mama? Mmmm, kita bawak sekalilah mama

I ikut pergi oversea.

Tajudin ketawa terkekeh-kekeh. Azlina hanya memandang serius pada Tajudin.

DISSOLVE TO:

EXT. RUMAH TAJUDIN/HALAMAN RUMAH - DAY

Pandangan kembali pada Sa’adah dan Azlina di meja rehat berpayung.

AZLINA

Sepatutnya hari tu I kena bagi cek ni pada Tajudin.

Tapi I tipu dia, kata tertinggal di pejabat.

Esoknya saya telefon dia cakap

ada error masa isi borang tuntutan dan kena proses balik.

SA’ADAH

Apa tujuan awak cerita semua ni?

AZLINA

I ni mungkin nampak moden sangat.

Tapi saya masih tahu halal-haram

dan masih ingat apa agama saya.

Betapa besarnya dosa saya kalau saya

merelakan semua tu sehingga Alif dijaga oleh Kak Yen.

Apalagi kalau saya meruntuhkan rumahtangga awak.

Sa’adah terkelu lidah tidak tahu apa lagi hendak dikatakannya. Matanya mula bergenang airmata. Azlina meramas tangan Sa’adah menenangkannya.

AZLINA

Hey! Listen! I tak habis cerita lagi ni.

DISSOLVE TO:

EXT. KONDOMINIUM/TEMPAT LETAK KERETA - DAY (FLASHBACK)

Tajudin yang masih memakai baju tidur yang ronyok dan Azlina yang berpakaian sukan berbual berdekatan kereta Tajudin.

TAJUDIN

What happen to me? Apa yang I dah buat?

AZLINA

You masih belum terlambat Din.

TAJUDIN

You know, malam tadi I mimpikan berjumpa dengan Salima.

Tajudin membuka pintu keretanya lalu duduk menghidupkan enjin keretanya.

AZLINA

Then?

TAJUDIN

Malam tadi jugak Pakcik Penjaga Kubur tu sedarkan I.

AZLINA

Dia cakap apa?

TAJUDIN

Kalau rindukan sangat orang yang dah tak ada,

kita bacakan Yasin dan sedekahkan Fatihah banyak-banyak.

AZLINA

Apa kaitannya?

TAJUDIN

Dalam mimpi tu Salima kata I dah tak rindukan dia lagi sebab ...

Tajudin menekap mukanya.

AZLINA

--Sebab you dah lama tak bacakan Yasin atau

sedekahkan Fatihah untuk dia?

Tajudin mengangguk perlahan menahan sebak.

TAJUDIN

Sebenarnya I dah mula sayangkan Sa’adah

sebagai isteri yang mengambil-berat, saya dan Alif.

Tapi ...

Tajudin seakan hilang kata-kata dalam tangisannya sendiri.

Azlina menepuk-nepuk belakang Tajudin.

DISSOLVE TO:

EXT. RUMAH TAJUDIN/HALAMAN RUMAH - DAY

Azlina menyambung ceritanya pada Sa’adah.

AZLINA

... Tapi Tajudin takut kasih-sayangnya

pada awak akan melenyapkan cintanya pada Salima.

Azlina menepuk-nepuk tangan Sa’adah.

AZLINA

Tajudin balik pagi tu nak mintak ampun dengan awak.

Dia nak betulkan semuanya.

Tapi awak tak ada dan sekarang

dia tak dapat beritahu dengan mulutnya sendiri.

Sa’adah tidak dapat lagi menahan sebaknya lalu meraung. Azlina segera memeluk Sa’adah menenangkan.

AZLINA

Syyy! Awak sudah dapat cintanya!

(berbisik pada Sa’adah)

Dua orang jururawat khas bantuan keluar dari rumah membawa beg perubatan. Cepat-cepat Sa’adah mengelap airmatanya dan menghampiri mereka.

DISSOLVE TO:

INT. RUMAH TAJUDIN/BILIK TIDUR BAWAH - DAY

SUPERIMPOSE: JULAI 2008

Kelihatan Tajudin terbaring kaku di atas katil. Sesekali matanya berkedip memandang sayu ke syiling. Di sisinya nampak sebuah peralatan sokongan pernafasan bersambung ke mulutnya dan bekalan perubatan yang berselirat di tangannya.

Sa’adah mengangkat perlahan-lahan tangan Tajudin menampakkan tanda sapuan iodin bahagian bawah sikunya yang semakin buruk kerana lama tiada pergerakan fizikal. Sa’adah mengerutkan sedikit mukanya menahan bau busuk.

Sa’adah mengelapkan perlahan bahagian sekitar tompokan itu dengan tuala lembab. Kemudian Sa’adah mengelapkan bahagian-bahagian badan Tajudin yang lain perlahan-lahan.

Setelah selesai, Sa’adah duduk di kerusi berhampiran katil Tajudin. Sa’adah menunjukkan dan memusing-musingkan cincin nikah di jari manisnya yang kelihatan tidak lagi ketat pada Tajudin.

SA’ADAH

Cincin ni, cincin ni dah muat.

Orang lain mengandung makin gemuk. Saya makin kurus pulak.

(ketawa sendiri)

Tajudin hanya menjawab dengan kedipan mata.

TING! TONG! Loceng rumah berbunyi.

SA’ADAH

Sekejap ya Bang. Ada tetamu kot.

Sa’adah bangun menuju keluar bilik dan membiarkan pintu bilik terkuak sedikit.

CUT TO:

EXT. RUMAH TAJUDIN/HALAMAN RUMAH - DAY

Kelihatan sebuah kereta Toyota Unser diberhentikan di depan rumah Tajudin. Haidir sedang tercegat menekan loceng di batu pintu pagar.

Maria yang sedang sarat mengandung kelihatan baru keluar terhegeh-hegeh dari kereta itu lalu menutup pintunya. Maria membimbit sebuah beg kain benang berkait yang menampakkan isinya sebuah bantal bayi berwarna biru.

MARIA

Tak ada orang ke bang?

HAIDIR

Kat belakang kot.

Maria pula menekan-nekan loceng itu berkali-kali.

HAIDIR

Apa yang awak buat tu?

Sa’adah bergegas keluar dari pintu depan rumah menuju pintu pagar.

SA’ADAH

Ya! Ya! Kejaplah.

MARIA

Ha! Ada pun! Ingatkan semua orang dah mati!

HAIDIR

Ish! Awak ni!

MARIA

Apanya?

HAIDIR

Assalamu’alaikum Usu.

Sa’dah membuka kunci mangga di pintu pagar.

SA’ADAH

Wa’alaikumsalam.

Kenapa tak telefon dulu nak datang?

MARIA

Alah! Bukannya nak datang rumah menteri

nak telefon-telefon. Rumah adik sendiri!

SA’ADAH

Masuklah.

HAIDIR

Along nak hisap rokok, sekejap lagi Along masuk.

Haidir mengeluarkan kotak rokoknya dari poket seluar dan duduk di meja rehat berpayung. Maria pula mengekori Sa’adah yang menarik muka masam menuju ke pintu depan rumah.

CUT TO:

INT. RUMAH TAJUDIN/RUANG TAMU - DAY

Sa’adah dan Maria masuk ke dalam rumah. Maria segera duduk di sofa kepenatan dan meletakkan begnya di atas meja kopi. Dia menghenyak-henyak punggungnya keselesaan.

MARIA

Uii! Empuknya sofanya ni!

Brand yang ginilah aku nak suruh Along kau beli!

Sa’adah berdiri tercegat melihat kerenah Maria sambil tersenyum simpul.

SA’ADAH

Budak-budak tak ikut?

MARIA

Tak. Ish! Kecohlah nanti!

Sa’adah hendak berjalan menuju ke dapur.

MARIA

Eh! Sa’adah! Kau nak ke mana tu?

Tak payah susah-susahlah.

Ni kami nak singgah sekejap saja pun.

SA’ADAH

Saya nak ke bilik belakang,

nak bagi tahu Abang Din korang semua datang.

Tak nak jenguk dia ke?

MARIA

Tak payah! Tak payah! Kami datang bukan nak tengok dia.

Lain kalilah. Kau duduk sini kejap

Kak Long nak cakap sikit ni.

Sa’adah kehairanan tapi duduk juga di sebelah Maria.

MARIA

Along kau malu nak cakap sebab tu

dia buat alasan hisap rokok kat luar tu.

Kami nak minta tolong sikit dari kau ni.

SA’ADAH

Pasal duit?

MARIA

Ha! Pandai kau baca fikiran aku.

SA’ADAH

Berapa banyak?

MARIA

Bagi Kak Long pinjam 10 ribu, boleh?

SA’ADAH

Ish! Mana saya ada banyak tu?

Duit belanja dapur, ada lah.

Kad ATM Abang Din pun cuma

boleh keluarkan tiga ribu sekali cucuk.

MARIA

Alah! Kau keluarkan kat kaunterlah.

SA’ADAH

Apa Kak Long cakap ni? Bank mana yang boleh buat macam tu?

Nama akaun semua nama Abang Din ...

Kak Long nak beli atau bayar apa ni?

Suara Sa’adah semakin nyaring bercakap.

MARIA

Engkau ni tak nampak ke perut aku

yang dah nak meletup ni?

Aku nak beranak kat hospital swasta tu!

Sa’adah berdiri mencekak pinggang.

SA’ADAH

Eh! Kak Long ni! Abang Din tu tengah

sakit-sakit begini pun Kak Long

sanggup datang sini nak paksa-paksa saya

pinjamkan duit sebanyak tu? Apa ni ...

MARIA

--Bang! Oh! Bang! Sini kejap!

Awak cakap pada adik awak ni!

Maria bergegas keluar rumah memanggil Haidir. Sa’adah mengekorinya keluar.

CUT TO:

EXT. RUMAH TAJUDIN/HALAMAN RUMAH - DAY

Sa’adah bergegas berjalan mendahului Maria yang terhegeh-hegeh mendekati Haidir yang terpinga-pinga lalu memijak puntung rokoknya ke tanah.

SA’ADAH

Apa dah jadi dengan Along ni?

Haidir hanya tunduk membisu.

MARIA

Awak tengoklah tu! Kakak ipar sendiri pun

dia tak boleh nak tolong!

Sa’adah tidak mengendahkan Maria di belakangnya. Sa’adah mula menangis.

SA’ADAH

Mana maruah Along ni?

MARIA

Jomlah kita balik je bang!

Budak tak mengenang budi!

Tanpa Sa’adah dan Haidir sedari, Maria berpaling dan berjalan masuk semula ke dalam rumah.

SA’ADAH

Kak Long buat Along macam bola

disepak ke sana-sini! Dia pijak kepala Along

sesuka hati dia! Sampai bila Along macam ni?

Pang! Haidir menampar muka Sa’adah.

INTERCUT TO:

INT. RUMAH TAJUDIN/RUANG TAMU - DAY

Maria bergegas masuk menuju ke ruang tamu dan kelam-kabut mengambil beg sehingga bantal bayi di dalamnya tercampak keluar. Maria mengambil bantal itu dan memandang ke arah bilik belakang dimana Tajudin berada.

Dari halaman rumah, kedengaran suara Haidir dan Sa’adah bertengkar.

MARIA

Selagi kau hidup, dia tak dapat duit kau ya?

Kalau, kalau ... Kalau kau dah mati? ...

(pada diri sendiri tidak waras)

CUT TO:

INT. RUMAH TAJUDIN/BILIK TIDUR BAWAH - DAY

Fokus ke sebuah gambar besar di dinding - Tajudin, Sa’adah dan Alif duduk di atas katil di bilik pengantin. Pakaian pengantin songket tradisional.

Fokus beralih ke sebuah lagi gambar yang lebih kecil di atas meja solek - Tajudin dan Salima berpakaian pengantin ala Inggeris moden dimana Salima memakai gaun putih susu.

Kelihatan Tajudin terbaring kaku di atas katil. Sesekali matanya berkedip memandang sayu ke syiling.

Fokus beralih ke pintu bilik yang terkuak sedikit. Dari luar kedengaran suara Sa’adah dan Haidir yang kedengaran samar-samar sedang bertengkar.

Tiba-tiba Maria muncul bergegas membuka pintu dari luar. Dia memegang bantal bayi berwarna biru tadi. Maria menghampiri Tajudin dengan pandangan kebencian.

TAJUDIN’s P.O.V -- Seseorang dengan pantas menekup mukanya dengan sesuatu berwarna kebiruan. Pandangannya beransur kelam dan akhirnya gelap.

FADE TO BLACK.

FADE IN:

INT. KLIA/RUANG LEGAR AWAM - DAY

SUPERIMPOSE: JULAI 2009

Kelihatan Sa’adah yang sedang memeluk Azlina sambil keduanya menangis. Alif pula sedang bermain-main dengan seorang BAYI PEREMPUAN, ALINA (9 bulan) yang didukung oleh Kak Zita.

AZLINA

So, Bon Voyage to you! Chef Sa’adah!

You berhak untuk bahagia di tempat lain.

SA’ADAH

Awak jangan salah anggap pemergian kami ni

takkan balik lagi ke sini.

Walaupun kat sini kasih-sayang saya

yang dulu semuanya sudah berkubur,

tapi saya masih ada Alif dan Alina.

AZLINA

Nanti sampai kat Manchester jangan lupa telefon tau.

SA’ADAH

Saya janji.

Azlina mendekati Alif dan Kak Zita.

AZLINA

Alif jaga ibu dan adik tau!

ALIF

Ok!

AZLINA

Nanti Kak Zita nak daftarkan nama restoren

milik Sa’adah tu dengan nama apa?

KAK ZITA

Kena tanya tuan punya restoren kita, Madam Sa’adah!

SA’ADAH

Tajudin & Salima Fish Curry House.

FADE OUT.

TAMAT.

No comments: